Aneka Ragam Makalah

Makalah Tahap Kesediaan ICT Guru~Pengaruh Faktor Demografi



Jika bermanfaat, Mohon di Share ya !. kalau sempat sumbang tulisannya ya !
BAB I
PENDAHULUAN
Makalah Tahap Kesediaan ICT Guru~Pengaruh Faktor Demografi

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001) mengemukakan tiga dasar penting berkaitan penggunaan ICT dalam pendidikan di negara ini. Dasar-dasar tersebut merangkumi (i) kepentingan literasi ICT untuk semua pelajar, (ii) keutamaan peranan dan fungsi ICT sebagai kurikulum serta alat pengajaran dan pembelajaran dan (iii) kegunaan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan serta keberkesanan sistem pengurusan. Dasar-dasar ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara ini mengutamakan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Sebagai agen pelaksana dan juga agen perubahan, guru-guru terlibat secara langsung dengan dasar-dasar tersebut, terutamanya bagi pelaksanaan dasar pertama dan kedua, iaitu membantu pelajar-pelajar menguasai literasi ICT dan menggunakan ICT untuk meningkatkan kualiti serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Sehubungan itu, guru-guru pada hari ini perlu melengkapi diri mereka dengan “keilmuan mutakhir dan minda yang progresif bertepatan dengan keperluan era informasi” (Wan Liz 2000: 169). Tuntutan profesionalisma perguruan hari ini memerlukan guru-guru mempunyai literasi elektronik (Warschauer, 1999), di mana mereka berkemahiran menggunakan ICT untuk meneroka, mencari serta mengakses maklumat dan seterusnya memanfaatkan maklumat tersebut untuk tujuan pengajaran dalam bilik darjah. Guru-guru seharusnya mempunyai pengetahuan dan kemahiran menggunakan teknologi berasaskan komputer serta pelbagai aplikasinya seperti CD ROM, Internet, WWW (World Wide Web) serta perisian-perisian pendidikan. Selain itu, guru-guru perlu mempelajari bagaimana untuk mengajar dengan menggunakan peralatan dan kemudahan teknologi serta mempelajari kemahiran-kemahiran dan pendekatan-pendekatan baru (Tapscott, 2003; Pachler, 2001). Secanggih mana pun sesuatu teknologi, teknologi tersebut akan menjadi tidak berguna seandainya guru-guru tiada ilmu serta tidak berkeyakinan untuk menggunakannya dalam bilik darjah. Maksudnya, bagi tujuan membawa impak yang positif kepada pengajaran dan pembelajaran, guru-guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengguna dan mengintegrasikan peralatan dan kemudahan ICT (Davis, 2001) serta berasa selesa dan yakin menggunakan teknologi tersebut (Ropp, 1999; Norhayati, 1995).

Dapat disimpulkan bahawa pada masa ini guru-guru mempunyai tugas dan tanggung jawab yang berat dan amat mencabar kredibiliti mereka sebagai pendidik. Mereka turut dituntut untuk meorientasikan semula kaedah serta amalan-amalan pengajaran mereka serta berkeupayaan memegang pelbagai peranan terutamanya sebagai fasilitator, perancang dan pengurus pengajaran dalam bilik darjah bestari. Maka, sebagai al-mu’alim (menyampaikan ilmu yang benar), al-murrabbi (menjayakan proses pendidikan) dan al-mudarris (mengajar pelajaran dan kemahiran), amat perlu guru-guru melengkapkan diri mereka dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran ICT serta bersikap positif terhadap ICT (Kementerian Pendidikan Malaysia 1997). Hanya dengan cara ini guru-guru dapat mendidik para pelajar mereka sebagai persiapan menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang pada zaman maklumat serta menangani kepesatan kemajuan dalam ICT.

BAB II
PEMBAHASAN
Makalah Tahap Kesediaan ICT Guru~Pengaruh Faktor Demografi

A. TINJAUAN LITERATUR
Teknologi berasaskan komputer sudah bertapak di negara ini sejak pertengahan tahun-tahun 1980an. Namun begitu, hasil tinjauan literatur mendapati masih kurang kajian yang dilakukan bagi melihat kesediaan ICT guru-guru berdasarkan tiga aspek penting iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap secara serentak. Menurut Wong (2002), Wild (1995) dan Wilson (1990) dalam menentukan kesediaan guru-guru menggunakan ICT adalah penting untuk menyelidiki ketiga-tiga aspek tersebut secara serentak bagi memperoleh gambaran yang lebih tepat dan menyeluruh. Turut didapati sebahagian besar daripada kajian-kajian yang dijalankan berkaitan dengan kesediaan ICT guru-guru tidak membezakan antara pengetahuan dan kemahiran ICT, di mana aspek pengetahuan dan kemahiran yang diukur lebih tertumpu kepada pengetahuan penggunaan komputer atau ICT secara praktis yang melibatkan kemahiran mengoperasi perkakasan, perisian serta pelbagai aplikasi teknologi berasaskan komputer. Selain itu, kebanyakan kajian tersebut juga menggunakan instrumen dalam bentuk soal selidik serta senarai semak untuk menentukan tahap pengetahuan dan kemahiran ICT guru-guru.

Kajian-kajian tentang kesediaan dan penggunaan ICT dalam kalangan guru yang dijalankan pada dekad 1990an didapati lebih tertumpu kepada aspek-aspek pengetahuan dan kemahiran menggunakan perisian-perisian produktiviti seperti pemprosesan perkataan, pangkalan data dan helaian hamparan elektronik. Pada akhir tahun 1990an hingga kini, didapati kajian-kajian mula memasukkan elemen-elemen telekomunikasi seperti Internet, komunikasi berperantara komputer terutamanya mel elektronik dan juga pengajaran dan pembelajaran berasaskan web. Di samping itu, kajian-kajian tentang penggunaan perisian-perisian produktiviti masih tetap diteruskan. Keadaan ini menunjukkan pengaruh perkembangan pesat ICT dalam sistem pendidikan pada masa ini.

Antara kajian kesediaan menggunakan komputer terawal telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sains dan Matematik (RECSAM). Menurut Pak dan Punyapinyophol (1988), pada ketika itu guru-guru didapati mempunyai pengetahuan dan kemahiran komputer yang rendah. Namun begitu, didapati guru-guru serta pentadbir-pentadbir sekolah menunjukkan sikap yang positif serta dapat menerima penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Hasil kajian ini yang mendapati tahap pengetahuan dan kemahiran komputer guru-guru adalah rendah sememangnya tidak mengejutkan. Hal ini adalah kerana pada ketika itu penggunaan komputer di sekolah-sekolah masih di peringkat rintis di bawah Projek Rintis Literasi Komputer dan lebih tertumpu kepada penubuhan kelab-kelab komputer bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman tentang penggunaan komputer. Tambahan pula, kelab-kelab tersebut dijadikan sebagai aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah tertentu sahaja (Norhayati, 1995).

Kajian tentang kesediaan guru-guru di negara ini yang berikutnya dijalankan hampir 10 tahun selepas kajian Pak dan Punyapinyophol dilaksanakan. Norizan & Salleh-Huddin (1997) telah menjalankan satu kajian yang lebih menyeluruh berkaitan kesediaan ICT dalam kalangan 392 orang guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Arab. Kajian bentuk tinjauan tersebut diadakan bertujuan untuk melihat kesediaan guru-guru menggunakan komputer dan kesediaan kemudahan perkakasan dan perisian komputer serta kursus literasi komputer. Dua aspek utama yang dikaji ialah tahap literasi komputer dan persepsi serta sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa. Dalam kajian tersebut, literasi komputer didefinisikan sebagai pengetahuan menggunakan komputer secara praktis yang melibatkan kemahiran-kemahiran mengoperasi perkakasan komputer dan menggunakannya secara cekap. Kajian ini menghasilkan dapatan kajian yang menyamai hasil kajian Pak dan Punyapinyophol iaitu tahap kesediaan guru-guru daripada segi pengetahuan dan kemahiran-kemahiran menggunakan komputer masih pada tahap yang rendah. Daripada segi kesediaan sikap, guru-guru didapati bersikap positif terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran.

Kajian oleh Ab. Rahim & Shamsiah (1998) turut menyelidiki tahap pengetahuan dan kemahiran menggunakan komputer dalam kalangan guru Teknik dan Vokasional. Selain itu, mereka juga mengkaji sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Daripada segi kemahiran menggunakan komputer, kajian tersebut mendapati lebih 50% guru Teknik dan Vokasional tidak mahir menggunakan perisian produktiviti seperti pemprosesan perkataan, helaian hamparan elektronik dan desktop publishing. Daripada segi pengetahuan tentang komputer pula, kajian tersebut melaporkan hanya 18% guru yang dikaji yang mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi. Sejumlah 38.2% guru pula didapati mempunyai pengetahuan yang sederhana, manakala 43.8% guru lagi mempunyai pengetahuan yang rendah. Namun, didapati majoriti guru bersikap positif terhadap penggunaan komputer serta menunjukkan kesediaan untuk menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, terdapat satu lagi kajian yang agak terkini yang dijalankan oleh Norizan (2003) berkaitan tahap kompetensi ICT dalam kalangan 1123 guru Bahasa Inggeris. Dalam kajian tersebut kompetensi komputer diukur berdasarkan dua aspek iaitu: (i) pengetahuan tentang komputer termasuk konsep-konsep komputer serta impak kepada masyarakat dan (ii) kemahiran menggunakan komputer sebagai alat produktiviti untuk komunikasi, pengurusan dan penyelesaian masalah serta pengajaran dan pembelajaran. Hasil kajian ini mendapati kompetensi guru-guru masih berada pada tahap rendah terutamanya dalam kategori komunikasi berperantara komputer, pengajaran dan pembelajaran berasaskan web, pengurusan berbantukan komputer serta penilaian dan pentaksiran berasaskan komputer, di mana lebih daripada 52.2% guru didapati mempunyai kemahiran pada tahap rendah, manakala 38 % guru lagi berkemahiran sederhana. Hanya 10.3% guru dilaporkan mempunyai kemahiran yang tinggi. Seperti dapatan kajian-kajian Norizan & Salleh-Huddin (1997) serta Pak & Punyapinyophol (1988), guru-guru dalam kajian ini didapati juga mempunyai sikap yang positif terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Selanjutnya, didapati kajian-kajian lain yang berkaitan ICT dalam pendidikan di negara ini lebih banyak tertumpu kepada dua aspek utama iaitu kemahiran dan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah (seperti kajian-kajian oleh Ashinida et al., 2004; Nor Azilah dan Mona, 2004; Mohd. Jasmy et al., 2003; Halimahtun dan Nor Azilah, 2002; Abd. Rahman, 2000; Pang, 2000; Abdul Razak dan Jamaludin, 1998).

B. METODOLOGI
Kajian ini dilaksanakan dengan menggunakan metodologi penyelidikan kuantitatif dalam bentuk tinjauan. Pengumpulan data kajian dilakukan dengan menggunakan satu set instrumen kajian yang dinamakan sebagai instrumen Kesediaan ICT Guru yang diadaptasi daripada instrumen yang dihasilkan oleh Wong (2002). Set Instrumen Kesediaan ICT mengandungi tiga jenis instrumen iaitu Ujian Pengetahuan ICT, Ujian Kemahiran ICT dan soal selidik Sikap Terhadap ICT. Dalam kajian ini, aspek pengetahuan dan kemahiran ICT yang dikaji adalah terbatas kepada pengetahuan dan kemahiran-kemahiran ICT pada peringkat asas sahaja. Kebolehpercayaan Ujian Pengetahuan ICT ialah 0.74, Ujian Kemahiran ICT ialah 0.97 dan soal selidik Sikap terhadap ICT ialah 0.95.

Ujian Pengetahuan ICT terdiri daripada 20 soalan objektif dengan empat pilihan jawapan yang menguji pengetahuan guru-guru berkaitan perkakasan dan perisian sistem, Internet dan mel elektronik. Setiap jawapan betul diberikan skor 1 manakala setiap jawapan salah diberikan skor 0. Skor maksima bagi ujian pengetahuan adalah 20. Ujian Kemahiran ICT pula terdiri daripada 90 item tugasan praktikal atau hands on yang diadakan dalam dua mod iaitu mod dalam talian melalui penggunaan Internet dan mel elektronik serta mod luar talian menggunakan pakej perisian Microsoft Office iaitu pemprosesan perkataan (Word), helaian hamparan elektronik (Excel), pangkalan data elektronik (Access) dan persembahan elektronik (PowerPoint). Setiap tugasan yang dilakukan dengan sempurna atau lengkap diberikan skor 1, manakala setiap tugasan yang tidak sempurna atau tidak dilakukan diberi skor 0. Skor maksima bagi ujian kemahiran ini adalah 144 memandangkan terdapat item-item yang menguji beberapa kemahiran secara serentak.

Soal selidik Sikap Terhadap ICT terdiri daripada 44 item berkaitan Internet dan mel elektronik, aplikasi perisian secara khusus, aplikasi perisian secara umum, ICT secara umum serta pengajaran dan pembelajaran berasaskan web. Soal selidik ini menggunakan skala Likert lima mata (1 - Sangat Tidak Setuju, 2 – Tidak Setuju, 3 – Kurang Pasti, 4 – Setuju dan 5 – Sangat Setuju). Sampel kajian terdiri daripada 303 orang guru sekolah menengah yang dipilih secara rawak dari empat buah negeri mengikut zon iaitu negeri Perlis (Zon Utara), negeri Perak (Zon Barat), negeri Pahang (Zon Timur) dan negeri Johor (Zon Selatan). Data kajian dianalisis secara deskriptif (frekuensi, peratusan, min dan sisihan piawai) serta juga secara inferensi (analisis varians multivariat (MANOVA).

C. DAPATAN KAJIAN

Kesediaan Guru daripada segi Pengetahuan ICT
Didapati majoriti guru (256 orang, 84.5%) mempunyai pengetahuan ICT yang sederhana. Turut didapati hanya 22 orang guru (7.3%) mempunyai pengetahuan ICT yang tinggi, manakala terdapat 25 orang guru (8.2%) yang masih mempunyai pengetahuan ICT yang rendah.

Kesediaan Guru daripada segi Kemahiran ICT
(a) Kesediaan Guru daripada segi Kemahiran Berdasarkan Enam Kategori Aplikasi

Pemprosesan Perkataan
Didapati majoriti guru (203 orang, 67%) berkemahiran tinggi menggunakan aplikasi ini. Sejumlah 99 orang guru (32.7%) pula didapati mempunyai kemahiran pada tahap sederhana. Turut didapati seorang guru yang masih tidak mahir menggunakan pemprosesan perkataan.

Helaian Hamparan Elektronik
Didapati lebih satu pertiga daripada guru-guru (114 orang, 37.6%) berkemahiran sederhana dalam menggunakan aplikasi tersebut. Sementara itu, satu pertiga lagi guru (98 orang, 32.4%) didapati mempunyai kemahiran yang tinggi, manakala 91 orang lagi guru (30%) didapati mempunyai kemahiran yang rendah.

Pangkalan Data Elektronik
Didapati majoriti guru (278 orang, 91.7%) mempunyai kemahiran yang rendah dalam menggunakan aplikasi ini. Turut didapati hanya 16 orang guru (5.3%) yang berkemahiran tinggi dalam melakukan tugasan berkaitan pangkalan data elektronik. Selain itu, terdapat sembilan orang guru (3.0%) yang mempunyai kemahiran yang sederhana.

Persembahan Elektronik
Didapati lebih satu pertiga daripada guru-guru (121 orang, 39.9%) mempunyai kemahiran yang sederhana dalam menggunakan persembahan elektronik. Lebih satu pertiga lagi daripada guru-guru (118 orang, 38.9%) didapati mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menggunakan aplikasi tersebut. Kajian juga mendapati seramai 64 orang guru (21.1%) lagi yang masih rendah kemahiran mereka menggunakan persembahan elektronik.

Asas Internet
Didapati sejumlah 132 orang guru (43.6%) berkemahiran tinggi dalam menggunakan asas Internet. Seramai 72 orang guru (23.7%) pula didapati mempunyai kemahiran yang sederhana, manakala 99 orang guru lagi (32.7%) mempunyai kemahiran yang rendah.

Mel Elektronik
Didapati majoriti guru (190 orang, 62.7%) mempunyai kemahiran yang rendah dalam menggunakan aplikasi tersebut. Hanya terdapat 58 orang guru (19.1%) yang berkemahiran tinggi menggunakan aplikasi ini, manakala seramai 55 orang (18.15%) lagi didapati mempunyai kemahiran yang sederhana.

(b) Kesediaan daripada segi Kemahiran ICT secara Keseluruhan
Didapati majoriti guru (243 orang, 80.20%) mempunyai kemahiran asas ICT pada tahap sederhana. Selain itu, didapati cuma 19 orang guru (6.27%) yang mempunyai kemahiran asas ICT yang tinggi. Turut didapati seramai 41 orang guru (13.53%) yang mempunyai kemahiran asas ICT yang rendah.

Kesediaan Guru daripada segi Sikap Terhadap ICT
Didapati majoriti guru (291 orang, 96%) mempunyai sikap yang positif terhadap ICT yang berkaitan Internet serta mel elektronik, aplikasi perisian secara khusus, aplikasi perisian secara umum, ICT secara umum serta pengajaran dan pembelajaran berasaskan web. Terdapat 12 orang guru (4.0%) yang kurang pasti dengan sikap mereka terhadap ICT, manakala tiada seorang guru pun yang menunjukkan sikap yang negatif terhadap ICT.

Kesediaan Guru daripada segi Pencapaian ICT
Didapati majoriti guru (256 orang, 84.5%) berada pada tahap pencapaian ICT (pengetahuan + kemahiran) yang sederhana. Turut didapati hanya 17 orang guru (5.6%) yang berada pada tahap pencapaian tinggi, manakala seramai 30 orang guru (9.90%) berada pada tahap pencapaian rendah.

Pengaruh Kehadiran Kursus ICT
Didapati kehadiran kursus ICT mempengaruhi kesediaan guru-guru khususnya daripada segi pengetahuan ICT dan kemahiran ICT (nilai Wilks’ (λ) = 0.726. F (3, 295) = 37.046, p < 0.05). Turut didapati pengalaman menggunakan ICT mempengaruhi kesediaan guru-guru terutamanya daripada segi kemahiran ICT (nilai Wilks’ (λ) = 0.595. F (6, 590) = 29.106, p < 0.05). Pengaruh Jantina dan Umur Terhadap Kesediaan ICT Guru Didapati jantina tidak mempengaruhi kesediaan ICT guru-guru (nilai Wilks’ (λ) = 0.988, F (3, 295) = 0.301, p > 0.05). Meski pun begitu, umur didapati mempengaruhi kesediaan ICT guru-guru khususnya daripada segi pengetahuan ICT dan kemahiran ICT (nilai Wilks’ (λ) = 0.908, F (6, 590) = 4.845, p dan 0.05). Pengaruh Lokasi Sekolah dan Bidang Pengkhususan Terhadap Kesediaan ICT Guru Didapati lokasi sekolah tidak mempengaruhi kesediaan ICT guru-guru (nilai Wilks’ (λ) = 0.996, F (3, 293) = 0.422, p > 0.05). Walau bagaimana pun, didapati bidang pengkhususan mempengaruhi kesediaan guru-guru terutamanya daripada segi pengetahuan ICT (nilai Wilks’ (λ) = 0.920, F (9, 7132.236) = 2.767, p < 0.05). PERBINCANGAN DAN CADANGAN Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa majoriti guru masih belum mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas ICT yang kukuh.

Keadaan ini perlu diatasi bagi membantu guru-guru menangani perkembangan dalam ICT yang berlaku dengan begitu pantas, di mana pengetahuan dan kemahiran baru sentiasa muncul. Tanpa pengetahuan dan kemahiran ICT yang secukupnya, guru-guru tidak dapat memaksimumkan potensi teknologi yang ada untuk meningkatkan kualiti serta keberkesanan pengajaran mereka di sekolah. Guru-guru kini juga berhadapan dengan impak ICT terhadap pedagogi mereka (Noraza & Pramela 2005), maka seharusnyalah golongan guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran ICT yang mantap bagi membantu mereka menangani impak tersebut. Senario pendidikan pada hari ini juga memerlukan guru-guru yang berpengetahuan ICT yang meluas kerana pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT adalah trend masa kini dan akan datang. Maka, guru-guru perlu mengubah amalan pengajaran yang konvensional seperti pengajaran latih tubi, hafalan dan chalk and talk sahaja. Seperti mana dinyatakan oleh Cuban et al. (2001), selagi guru-guru tidak mengubah corak serta amalan pengajaran mereka, selagi itulah sebarang usaha mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran akan menemui kegagalan. Faktor umur dan kehadiran kursus ICT didapati mempengaruhi tahap pengetahuan dan kemahiran ICT guru-guru.

Guru-guru muda yang berumur di bawah 30 tahun dan antara 30 hingga 39 tahun didapati mempunyai pengetahuan dan kemahiran ICT yang lebih tinggi berbanding guru-guru yang berumur 40 tahun ke atas. Guru-guru yang pernah menghadiri kursus-kursus ICT anjuran pihak berwajib seperti PPD, PSPN dan PKG juga didapati lebih berpengetahuan dan berkemahiran ICT berbanding dengan guru-guru yang tiada kursus ICT. Pengalaman menggunakan ICT turut didapati mempengaruhi kemahiran ICT guru-guru. Guru-guru yang berpengalaman menggunakan ICT tujuh tahun ke atas adalah lebih berkemahiran daripada guru-guru yang kurang berpengalaman. Selain itu, bidang pengkhususan didapati mempengaruhi pengetahuan ICT guru-guru. Guru-guru bidang Teknik dan Vokasional didapati mempunyai pengetahuan ICT yang lebih tinggi berbanding guru-guru lain. Justeru, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk menangani masalah guru-guru yang kurang berpengetahuan dan berkemahiran ICT, termasuk mengambil kira faktor-faktor demografi khususnya dalam mereka bentuk dan melaksanakan program-program ICT serta pemilihan peserta-peserta bagi program tersebut. Latihan, kursus serta program-program intervensi perlu dirancang dan dilaksanakan dengan kadar segera bagi membantu guru-guru berhadapan dengan perkembangan ICT terutamanya dewasa ini corak pendidikan global bergerak ke arah pengajaran dan pembelajaran berasaskan web dan pembelajaran elektronik (e – pembelajaran). Didapati guru-guru perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT mereka terutamanya bagi guru-guru yang lebih berumur serta menerima latihan sebelum ICT dijadikan sebahagian daripada kurikulum perguruan. Begitu juga dengan guru-guru yang tiada latihan atau kursus-kursus ICT. Mereka juga perlu berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT yang ada pada mereka melalui pelbagai cara termasuk menghadiri kursus ICT anjuran pihak berwajib atau secara persendirian. Aktiviti-aktiviti khusus yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT guru-guru seperti kursus dalam perkhidmatan, bengkel, projek, seminar dan diskusi seharusnya diadakan pada pelbagai peringkat demi untuk memastikan guru-guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran ICT yang kukuh bukan sahaja daripada aspek perkakasan dan perisian, tetapi juga berkaitan Internet, komunikasi berperantara komputer seperti mel elektronik, papan buletin dan senarai perbincangan serta rangkaian. Seperti dinyatakan oleh Tapscott (1998) dan Norizan (2003), komunikasi rangkaian (networked communication) telah menjadi semakin penting dalam kehidupan hari ini, maka adalah wajar guru-guru diberi peluang untuk menambah pengetahuan dan kemahiran ICT mereka melalui penyertaan dalam pelbagai program ICT.

Di samping itu, corak pembelajaran pada masa ini mula bergerak ke arah pembelajaran sepanjang hayat. Maka, seharusnya guru-guru tampil ke hadapan atas inisiatif dan usaha mereka sendiri untuk menambah ilmu yang dimiliki serta mengetahui bagaimana teknologi dapat digunakan untuk memaksimumkan pembelajaran dalam kalangan pelajar. Sejajar dengan kelebihan-kelebihan ICT, khususnya Internet yang menggalakkan pembelajaran kendiri, guru-guru berpeluang untuk mempertingkatkan pengetahuan serta kemahiran mereka sendiri. Meskipun demikian, kursus-kursus ICT secara formal yang dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti JPN, PPD, PSPN dan PKG masih amat diperlukan oleh guru-guru kerana kursus-kursus sedemikian dilaksanakan secara sistematik serta dikelolakan oleh mereka yang berkelayakan. Kursus-kursus tersebut juga dapat memberi pendedahan kepada guru-guru tentang perkembangan terbaru berkaitan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Kombinasi kedua-dua kaedah ini iaitu pembelajaran kendiri serta pembelajaran melalui kursus-kursus diharapkan akan dapat menghasilkan guru-guru yang berkemahiran serta menyedari akan kelebihan dan kepentingan ICT di sekolah. Seperti mana dinyatakan oleh British Educational Communications and Technology Agency (2004) guru-guru yang menyedari kegunaan serta kelebihan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran akan lebih bersedia untuk menggunakan teknologi dalam bilik darjah. Kajian ini juga mendapati guru-guru sememangnya bersikap positif terhadap penggunaan ICT dalam pegajaran dan pembelajaran. Ini merupakan satu kelebihan yang ada pada guru-guru ini kerana daripada segi sikap mereka memang cukup bersedia untuk menerima kehadiran ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Apa yang diperlukan ialah menterjemahkan sikap positif ini kepada tindakan iaitu menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Namun begitu, sebelum guru-guru dapat menggunakan ICT dengan berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran, mereka sudah pastinya perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran asas ICT terlebih dahulu. PENUTUP Kertas kerja ini membincangkan dapatan kajian berkaitan tahap kesediaan ICT guru-guru serta faktor-faktor demografi yang mempengaruhinya. Majoriti guru didapati mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas ICT pada tahap sederhana. Empat faktor demografi yang didapati mempengaruhi kesediaan guru, khususnya pengetahuan dan kemahiran ICT, adalah kehadiran kursus ICT, pengalaman menggunakan ICT, umur dan bidang pengkhususan. Justeru, program-program ICT yang direka bentuk dan dilaksanakan untuk guru-guru, terutamanya bagi guru-guru dalam perkhidmatan, perlu mengambil kira faktor-faktor tersebut bagi memastikan program-program yang dirancangkan itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Bagi menjayakan projek naik taraf semua sekolah di negara ini sebagai Sekolah Bestari, guru-guru yang bersedia daripada segi ilmu pengetahuan dan kemahiran ICT serta bersikap positif terhadap ICT amat diperlukan. Guru-guru yang cukup bersedia sudah tentunya akan berusaha untuk mengguna dan mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru-guru ini seterusnya diharapkan akan dapat membantu melengkapi pelajar-pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran ICT serta sikap yang sesuai untuk pembangunan diri mereka dalam pendidikan akan datang atau dalam bidang kerjaya mereka kelak.

DAFTAR PUSTAKA
  • Ab. Rahim Bakar & Shamsiah Mohamad. (1998). The roles of computers in education: What are the perceptions of Malaysian vocational and technology teachers. The Proceedings of the International Society for Technology in Education Conference. (dalam talian).
  • Abd. Rahman Daud. (2000). Kefahaman terhadap konsep penggunaan ICT di dalam bilik darjah. Proceedings of the International Conference on Teaching and Learning, pp. 609-623.
  • Abdul Razak Habib & Jamaludin Badusah. (1998). Penggunaan komputer untuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah menengah. Jurnal Pendidikan, 23, pp. 53-64.
  • Ashinida Aladdin, Afendi Hamat & Mohd. Shabri Yusof. 2004). Penggunaan PBBK (Pembelajaran Bahasa Berbantukan Komputer) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab sebagai bahasa asing: Satu tinjauan awal. Online Journal of Language Studies (GEMA). (dalam talian) http://www.fpbahasa.ukm.my/journal/20040101.htm (26 Januari 2005).
  • British Educational Communications and Technology Agency (2004). A review of the research literature on barriers to the uptake of ICT by teachers. (dalam talian).
  • Cuban, L.., Kirkpatrick, H. & Peck, C. (2001). High access and low use of technologies in high school classrooms: Explaining an apparent paradox. American Educational Research Journal, 38(4), pp. 813-834.
  • Davis, N. (2001). The virtual community of teachers. (2001). Dlm. Leaks, M. (pnyt.). Issues in Teaching Using ICT. hlm. 31-48. London: Routledge Palmer.
  • Halimahtun Saadiah Mohd. Taib & Nor Azilah Ngah. (2002). Kajian awal untuk meninjau implementasi teknologi komputer di kalangan guru-guru Maktab Rendah Sains Mara zon utara. Prosiding Konvensyen Teknologi Pendidikan Ke-15, pp. 258-264.
  • Kementerian Pendidikan Malaysia. (2001). Pembangunan Pendidikan 2001–2010. Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia.
  • Kementerian Pendidikan Malaysia. (1997). Smart School Flagship Application. The Malaysian Smart School: A Conceptual Blueprint. Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia.
  • Mohd. Jasmy Abd. Rahman, Mohd. Arif Ismail & Norsiati Razali. (2003). Tahap kesediaan penggunaan perisian kursus di kalangan guru Sains dan Matematik. Prosiding Konvensyen Teknologi Pendidikan Ke-16, pp. 372-380.
  • Noraza Ahmad Zabidi & Pramela Krish. (2005). Are teachers ready to meet new ICT challenges? Prosiding Seminar Kebangsaan E-Komuniti 2005, UKM (CD-ROM).
  • Nor Azilah Ngah & Mona Masood. (2004). Penilaian berterusan mengenai kedudukan pelbagai teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah rendah. Prosiding Konvensyen Teknologi Pendidikan Ke-17, pp. 59-64.
  • Norhayati Abd. Mukti. (1995). Factors related to teacher use of computer technology in Malaysia. Doctoral Dissertation. Michigan State University.
  • Norizan Abdul Razak. (2003). Computer competency of in-service ESL teachers in Malaysian secondary schools. Tesis Doktor Falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Norizan Abdul Razak & Salleh-Huddin Abdul Rashid. (1997). Pengajaran bahasa berbantukan komputer: Satu tinjauan terhadap kesediaan guru-guru dan sekolah-sekolah menengah di Malaysia.Laporan akhir V1/95 penyelidikan UKM.
  • Pachler, N. (2001). Connecting schools and pupils: To what end? Issues related to the use of ICT in school-based learning. Dlm. Leaks, M. (pnyt.). Issues in Teaching Using ICT. hlm.15-30. London: Routledge Palmer.
  • Pak Leong Yong & Punyapinyophol, K. (1988). Final report computer in education project. Kertas kerja dibentangkan di Regional Seminar in Computer in Education. Pulau Pinang. 5-8 April.
  • Pang, V. (2000). The antecedents of an ICT-enriched curriculum. Proceedings of the International Conference on Education and ICT in the New Millennium, pp. 444-466.
  • Ropp, M.M. (1999). Exploring individual characteristics associated with learning to use computers in preservice teacher preparation. Journal of Research on Computing in Education, 31(4), 173-178.
  • Tapscott, D. (2003). Educating the net generation. Dlm. Ornstein, A.C., Behar-Horenstein, L.& Pajak, E. F. (pnyt.). Contemporary Issues in Curriculum. Ed. ke-3. hlm. 268-272. Boston: Pearson Education.
  • Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Gagasan alaf baru. Mencetus kebangkitan Malaysia. Batu Caves: Thinker’s Library Sdn. Bhd.
  • Warschauer, M. (1999). Electronic Literacies. Language, Culture and Power in Online Education. New Jersey: Lawrence Erlbaum Associates Publishers.
  • Wild, M. (1995). Pre-service teacher education programs for information technology: An effective education? Journal of Information Technology in Education, 4(1), pp. 7-20.
  • Wilson, B. (1990). The preparednessof teacher trainees for computer utilisation: The Australian and British experiences. Review of Educational Research, 16(2), pp. 161-171.
  • Wong Su Luan (2002). Development and validation of an Information Technology (IT) based instrument to measure teachers’ IT preparedness. Tesis Doktor Falsafah. Universiti Putra Malaysia.


Makalah atau artikelnya sudah di share, makasih ya !

Mau Makalah Gratis! Silahkan Tulis Email Anda.
Print PDF
Previous
Next Post »
Copyright © 2012 Aneka Makalah - All Rights Reserved